Dalam sejarah tokoh kekafiran yang paling dahsyat adalah
Firaun. Ia bukan sahaja tidak mengakui adanya Tuhan malah ia mengangkat dirinya
sebagai tuhan yang berhak disembah sehingga tergamak ia menyatakan di hadapan
rakyat jelata, “Akulah tuhan kamu yang maha tinggi.”
Orang-orang kafir seperti Raja Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab
dan beberapa orang lagi yang terkenal dalam sejarah, mereka tetap mengakui
adanya Tuhan. Hanya sahaja mereka tidak mengakui tuhan mereka adalah Allah Yang
Maha Esa.
Segala seruan Nabi Musa dan Harun sedikitpun tidak pernah ia
hiraukan, malah pernah suatu ketika Firaun naik ke puncak sebuah bangunan yang
tinggi dan melepaskan anak panah ke langit. Kebetulan anak panah itu jatuh di
hadapannya dengan bersimbahan darah, lalu ia isytiharkan pada rakyat jelata
bahawa ia telah membunuh Tuhan Nabi Musa sedangkan darah tersebut hanyalah darah
burung yang Allah tetapkan mengenai sasaran anak panahnya supaya ia bertambah
kufur dengan kesombongan dan kekafirannya.
Seluruh rakyatnya dipaksa untuk menyembah dan sujud padanya.
Sesiapa yang ingkar, pasti dibunuhnya sehingga seluruh rakyatnya merasa takut
dan tidak mempunyai pilihan kecuali menyembahnya.
Walaupun seluruh rakyat telah menyembahnya sebagai tuhan, ada
seorang yang paling dekat hubungan dengan dirinya berani mengingkarkan dirinya
sebagai tuhan iaitu istennya sendiri, Asiah.
Dialah satu-satunya orang yang beriman kepada Allah di istana
Firaun. Rahsia keimanannya yang disembunyikan selama ini telah terbongkar
berpunca dari ucapan perkataan “Allah” yang terbit dan mulutnya secara tidak
sengaja.
Firaun berusaha memujuk supaya ia kembali kepada kekafirannya.
Ia berkata: “Wahai isteriku, tahukah engkau akibat orang yang mengingkari diriku
sebagai tuhan? Sebelum engkau menyesal, ubahlah pendirianmu!”
JawabAsiah dengan tegas: “Wahai Firaun, pendirianku tidak akan
berubah walau apapun yang akan menimpa diriku dan perlu engkau ingat bahawa
engkau dan aku adalah sama-sama manusia biasa. Tuhanmu dan Tuhanku adalah
Allah.”
Firaun berusaha memujuknya dengan kata-kata lemah lembut
tetapi tetap tidak berhasil, lalu digunakan kekerasan. Kata Firaun: “Hai Asiah,
jika engkau tidak mahu mengubah pendirianmu, pastilah engkau akan aku
pancung!”
Jawab Asiah: “Wahai Firaun, lakukanlah apa yang engkau mahu
tetapi sedikitpun engkau tidak akan dapat menguasai pendirianku dan dengarkanlah
sekali lagi aku nyatakan bahawa Tuhanmu dan Tuhanku adalah Allah.”
Setelah usaha mempengaruhinya secara lemah lembut mahupun
secara keras juga tidak berhasil, lalu Firaun membuat pengumuman pada sekelian
rakyatnya bahawa seorang perempuan akan dipancung kepalanya akibat keengganannya
untuk mengakui Firaun sebagai tuhan iaitu Asiah, isterinya sendiri. Semoga
hukuman ini akan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang ingkar akan ketuhanan
Firaun.
Pada masa yang telah ditentukan, berkumpullah sekalian rakyat
di suatu tempat di mana Asiah diikat patda sebatang pokok kurma. Firaun masih
tidak berputus asa dan cuba memujuknya.
Katanya: “Wahai Asiah, ubahlah pendirianmu. Engkau akan
kumaafkan.” Berulang kali pula Asiah menjawab: “Tidak, janganlah engkau cuba
mempengaruhiku lagi. Sia-sia sahaja perbuatanmu.”
Lalu Asiah memohon pada Allah sebagaimana yang telah
dijelaskan di dalam Al-Quran surah At-Tahrim ayat 11 yang bermaksud: “Dan Allah
mengemukakan satu misal perbandingan bagi orang-orang yang beriman iaitu perihal
isteri Firaun ketika ia berkata: Tuhanku, binalah untukku sebuah istana di
sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya serta
selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”
Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah, lalu Allah
perintahkan pada malaikat: “Sesungguhnya hambaKu memohon padaKu dan Aku
perkenankan permohonannya. Maka perlihatkanlah padanya gambarannya kerana
suaminya yang di dunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam
syurga, istananya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik
di dalam syurga.”
Maka malaikat pun menunjukkan gambaran keindahan
syurga sebagaimana permohonan Asiah. Pada ketika itu Asiah tersenyum seolah-olah
ia mencabar kematiannya. Asiah menghadapi kematian tidak dalam keadaan bersedih,
juga tidak menangis malah tersenyum.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar